JUN 2022

Sematan Bakal Miliki Hotel Bertaraf Antarabangsa


SEMATAN: Dua hotel bertaraf antarabangsa akan dibina di Sematan di sini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, ia akan dibina melalui pelaburan swasta.

“Dua hotel popular yang dibina itu bertaraf antarabangsa. Pihak swasta akan membangunkan kawasan Lundu/Sematan membabitkan jumlah pelaburan RM120 juta dan sudah disahkan. 

“Reka bentuk hotel ini seperti (Hotel Palm) Jumeirah yang saya lihat di Dubai. Mereka (pelabur) mahu bina di sini.

“Sematan macam Dubai dan ia daya tarikan baharu di sini,” katanya merasmikan Pontoon (jeti terapung) dan Landskap Tebingan Sungai Sematan di sini.

Beliau berkata, perkembangan itu akan memajukan industri pelancongan dan ekonomi.

Katanya, dengan ada pelbagai daya tarikan di Lundu-Sematan seperti gunung, Pulau Talang-Talang dan taman negara, semuanya akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk apabila dapat menarik minat pelancong.

Katanya, pembinaan hotel itu akan bermula dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya, terdapat satu lagi pihak swasta yang turut berminat melabur dalam sektor penginapan di Sematan dan kini masih dalam proses pertimbangan.

Dalam perkembangan lain, beliau meluluskan permohonan pembinaan jambatan konkrit menggantikan titian kayu di 15 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu termasuk menaik taraf Stadium Mini Lundu.

Katanya, semua permohonan itu diluluskan segera susulan Kerajaan Sarawak menjangkakan boleh mengaut pertambahan pendapatan tahun ini melalui hasil Cukai Jualan Negeri (SST) produk petroleum.

Terdahulu, ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dalam ucapan alu-alunya menyuarakan hasrat penduduk di kawasannya berhubung keadaan titian kayu di 15 kampung termasuk fasiliti Stadium Mini Lundu yang perlu dibaiki segera.

Sumber dari : Jiwa Bakti